Rahsia Skor A+ dalam Semua Subjek



ILMU TAK DIAJAR : RAHSIA SKOR +A DALAM SEMUA SUBJEK.


NOR AMELIA PENERIMA BUDI-MARA PEROLEH 9A+ DALAM SPM (MRSM PENGKALAN CHEPA) 

Penulisan ini saya tujukan khas kepada anak-anak pelajar yang sedang menuntut di semua institusi Pendidikan. Saya cuba buktikan bahawa pelajar BUDI mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Kesusahan dan kekangan kewangan bukan penghalang.  

Penulisan ini juga mengandungi tip-tip belajar daripada Nor Amelia.  

Semoga memberi manfaat kepada semua.  

Nama diberi Nor Amelia binti Mohd Yadi. Alhamdulillah, dalam peperiksaan SPM 2019, beliau berjaya meraih keputusan 9A+ berkat doa keluarga, guru-guru serta rakan-rakan.  

Nor Amelia dilahirkan di Puchong, Selangor namun kini menetap di Kuala Terengganu. Anak ketiga daripada 7 orang adik beradik. Bapa merupakan seorang pemandu manakala ibu saya seorang peniaga makanan. 

Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, bersekolah di MRSM Besut dan meraih keputusan 10A dalam PT3 2017. Aktif mewakili maktab dalam pertandingan debat, sains dan matematik. Namun, perkara ini tidak menjadi satu halangan dalam mengekalkan prestasi akademik. 

Sekarang Nor Amelia sedang menuntut di Kolej Yayasan UEM. Beliau sedang mengikuti pengajian di peringkat A-Level dan seterusnya akan mengambung pengajian diperingkat ijazah sarjana muda (kejuruteraan elektrik) di luar negara. InsyaAllah…  

Nor Amelia berkongsi tip kejayaan; 

1. Sasarkan yang terbaik 

Sejak tingkatan 1 lagi, saya sentiasa menetapkan sasaran untuk mendapatkan 4.00 pada setiap semester. Alhamdulillah sepanjang bergelar pelajar MRSM, saya berjaya mencapai PNG 4.00 sebanyak 6 kali. Namun, andai tidak mendapat PNG 4.00 sekalipun, saya sentiasa menjadikan perkara tersebut sebagai satu dorongan untuk berusaha lebih gigih. Semasa tingkatan 5, saya sentiasa menetapkan mindset bahawa saya akan mendapat 9A+. Bahkan, saya menulis "Amelia 9A+" di setiap buku, kertas, helaian latihan mahupun alat tulis kerana saya percaya ia merupakan satu doa. 

2. Fokus dalam kelas 

Saya sentiasa memastikan diri segar sepanjang PdP berlansung. Elakkan tidur dalam kelas dan fokus terhadap apa yang sedang diajar. Cara terbaik untuk mengekalkan diri daripada mengantuk adalah dengan memahami topik tersebut sebaiknya. Apabila pelajar memahami sesuatu topik tersebut, in sya Allah akan timbul minat. Seandainya, ada masa lapang, saya akan mengulang kaji sesuatu topik yang belum diajar supaya tidak terpinga-pinga ketika dalam kelas. 

3. Pengurusan masa 

Setiap pelajar perlu menilai kemampuan masing-masing dan merancang jadual belajar yang sesuai. Ketika di tingkatan 5, saya amalkan "power nap" pada setiap malam. Setelah selesai bacaan al-mulk saya akan tidur sebentar lebih kurang 10-30 minit, kemudian saya akan mengulang kaji setiap topik yang sudah lama ditinggalkan untuk dikuasai sepenuhnya. Bagi saya, perkara ini sangat penting supaya pelajar tidak terbeban untuk mengulang kaji ketika musim peperiksaan. Jadi, ketika musim peperiksaan, saya hanya banyakkan latihan sahaja 

4. Nota 

Pada pendapat saya, meskipun ada pelajar yang menggunakan nota dalam iPad atau telefon pintar, adalah lebih baik untuk menyalin nota tersebut. Semasa semester 2 tingkatan 5, saya mula mengasingkan nota di dalam kelas dan nota "self study". Nota "self study" saya adalah termasuk nota penting di dalam kelas yang disalin semula, nota daripada video-video di YouTube serta soalan yang kerap ditanya dalam topik tersebut. Untuk meningkatkan kefahaman, biasanya saya melukis dan tidak sekadar menulis. Gunakan pelbagai warna dalam nota supaya lebih mudah ingat. 

5. Amalan rohani 

Saya sentiasa amalkan surah Al-waqiah, Al-kahf, Luqman serta Ad-dukhan. Seeloknya, dibaca setiap hari. Pada prep pagi, saya mulakan dengan membaca Al mathurat supaya lebih tenang untuk belajar. Pada waktu malam, amalkan solat sunat hajat dan solat sunat taubat. Dalam doa pula, di samping mendoakan keputusan 9A+, saya amalkan doa "ya Allah, rezekikanlah kami keputusan yang terbaik supaya kami tidak melupakanmu" kerana mungkin keputusan yang cemerlang bukanlah yang terbaik sebaliknya menjadikan kita semakin riak dan jauh daripada Allah. 

6. Hormat ibu bapa dan guru 

Setiap minggu, saya sentiasa berhubung dengan keluarga dan memohon doa mereka. Keluarga adalah sebab utama yang menjadikan saya lebih semangat untuk belajar kerana saya percaya belajar sememangnya satu tanggungjawab sebagai anak. Dalam konteks guru pula, sentiasa hormat guru dan jaga hati mereka. Siapkan kerja rumah kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman, bahkan dapat menggembirakan hati guru-guru. Sentiasa selitkan ibu bapa dan guru-guru dalam doa. 

7. Belajar berkumpulan 

Bagi pelajar yang mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu topik, disarankan untul belajar secara berkumpulan. Seandainya ada masa lapang, mulakan perbincangan dalam kumpulan. Pelajar yang lebih cemerlang pula seeloknya saling berkongsi ilmu dan sentiasa peka apabila ada pelajar yang ingin bertanya. 

8. Banyakkan Latihan 

Bagi sesetengah subjek seperti Addmath dan Matematik, cara terbaik untuk mendapat A+ adalah dengan sentiasa melakukan latihan soalan KBAT. Bagi subjek-subjek lain pula, saya menjawab soalan-soalan percubaan setiap negeri. Buat nota ringkas terhadap soalan yang kerap ditanya dan sentiasa berjumpa guru untuk mendapatkan kepastian. 

9. Pengurusan stress 

Bagi saya, pengurusan stres amat penting. Jadi, sentiasalah positif dan hindarkan diri daripada terlibat dalam kes-kes disiplin. Dalam proses belajar pula, sentiasa ingatkan diri untuk berusaha lebih gigih daripada orang lain kerana itulah yang membezakan pelajar biasa dengan pelajar luar biasa. Percayalah, setiap usaha yang anda lakukan pada hari ini akan menyumbang kepada senyuman anda di kemudian hari. 

Diharapkan coretan ini sedikit sebanyak menjadi inspirasi untuk pelajar-pelajar lain bagi mengekalkan kecemerlangan MRSM sebagai institusi pendidikan terbaik di peringkat global.  Semoga berjaya! 

TAHNIAH Nor Amelia !!! Kami Bangga Dengan Pencapaian Anda!!!
Faizal Nasir
Faizal Nasir

Ini adalah biografi ringkas penulis artikel. Faizal Nasir guru Sains dan Matematik sekolah menengah. Beliau telah berkhidmat selama 8 tahun di 4 buah sekolah. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Ijazah Sarjana Pendidikan Kimia (UPSI). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment