10 Sebab Musim Sejuk Tidak Seronok (Jerman)





APA YANG SERONOKNYA SALJI?
Kalau tidak kerana kesan wabak pandemik C19 (penutupan sempadan negara, tiket flight yang amat mahal serta terhad, kuarantin 14 hari dan sebagainya) disusuli dengan ketibaan musim sejuk di Jerman, ingin sahaja aku kembali ke Malaysia dan menikmati sinar matahari sepuas-puasnya.

Sekarang baru aku sedar mengapa, bukan hanya orang Jerman, tetapi juga banyak orang dari negara 4 musim yang tidak mengemari musim sejuk.

Itulah sebabnya, pada musim sejuk, ramai dari mereka di negara 4 musim melakukan pengembaraan dan percutian di negara-negara tropika di Carribean atau Asia Tenggara bagi menjauhi musim sejuk.

Walaupun musim salji itu sendiri sering menarik minat bagi setengah-setengah orang khususnya dari Asia termasuk Malaysia, yang sebenarnya tidak pernah melihat atau bersemuka dengan salji secara berdepan, hakikatnya ada banyak sebab orang dari negara 4 musim tidak begitu menyukainya.

1.SEJUK DAN DINGIN.
Mereka yang datang dari negara bersuhu tropika seperti Malaysia memanglah seronok bermain timang-timang salji tapi mereka yang telah menetap sekian lama di sini hendak menghadap cuaca di bawah suhu tahap beku bukan sehari dua tetapi sehingga 3-4 bulan berterusan. Apa yang seronoknya?
2.SALJI.
Semua orang membayangkan bahawa salji yang berwarna putih itu cantik dan romantik gitu-gitu. Walaupun salji dapat menenangkan jiwa dan butir-butir salji yang turun dari langit dapat mendamaikan fikiran, banyak orang Jerman benci kepada salji.

Sekiranya salji turun selama berhari-hari lamanya, memanglah ianya akan kelihatan cantik dan menawan tetapi jika turunnya hanya sebentar dan sekejap-sekejap, disusuli dengan hujan yang turun, ia akan menjadi kotor di atas jalan dan menjijikkan.

Kalau keluar rumah, tentu kita tak dapat mengelak untuk memijak atas ais atau salji yang bukan berwarna putih tetapi ais berwarna coklat, becak dan berlumpur di mana-mana sahaja. Apa yang seronoknya?

3.SEJUK DI LUAR, PANAS DI DALAM..
Pada musim sejuk, tentu saja di rumah, kedai, pasaraya, pengangkutan awam akan memasang alat pemanas (heater). Di rumah pula, bil bayaran api rumah tentu bertambah berlipat kali ganda dengan pemasangan heater setiap penjuru rumah.

Setengah dari gaji bulanan kita perlu dikorbankan untuk membayar bil eletrik. Apa tidaknya, setiap bilik sehinggalah ke dapur perlu ada heater sehinggalah dalam jamban pun ada. Lagi luas rumah, lagi banyak heater kena gunakan. Apa yang seronoknya?

4.LECEH UNTUK BERGERAK.
Di Malaysia, jika anda ingin pergi ke kedai atau pasaraya, cukup hanya setakat pakai selipar Jepun, berseluar pendek atau berbaju pagoda.

Di Jerman, jangan haraplah nak berpakaian begitu pada musim sejuk, apatah lagi untuk pergi ke kedai atau pasaraya atau hanya membuang sampah di depan rumah.
Wajib memakai jaket tebal seperti Michelin Man, stokin, kasut, mafla, topi dan kasut boot supaya angin sejuk dan amat dingin tak memasuki tubuh badan. Boleh diserang demam, selsema dan lain-lain.

Kadang-kadang aku rasa menyusahkan dan tak berbaloi kena pakai semuanya walaupun hanya membuang sampah depan rumah. Apa yang seronoknya?

5.WAKTU SIANG HARI YANG PENDEK..
Bayangkan, pada musim sejuk, matahari terbit sekitar jam 8.30 pagi. Sementara itu, kita mesti berada di pejabat pada jam 08.00. Ia masih lagi gelap gelita dan aku pula kena pergi bekerja seperti biasa.
Kemudian matahari terbenam sekitar jam 4 petang, dan aku pulang pada jam 4 petang, pulang rumah pun dalam keadaan gelap. Bekerja 8 jam terasa seperti bekerja dari awal pagi hingga tengah malam. Apa yang seronoknya?

6.MATAHARI DAN VITAMIN D..
Seperti yang pernah aku tulis dalam artikel semalam mengenai tabiat orang dari negara 4 musim khususnya orang Jerman benci akan musim sejuk, pentingnya cahaya matahari untuk keseimbangan tubuh badan hampir jarang-jarang ditemui sepanjang musim sejuk.

Bayangkan, orang Jerman terpaksa menelan tablet vitamin D sentiasa kerana kekurangan tubuh badan mereka menerima pancaran cahaya matahari.

Ketika musim panas, anda dapat membayangkan betapa gembira dan bersemangatnya orang Jerman ketika melihat matahari muncul sehingga menjemurkan diri mereka tanpa seurat benang di taman-taman awam.

Kalian yang berada di Malaysia janganlah banyak merungut apabila terkena pancaran cahaya matahari kerana ianya rahmat Allah Ta’ala sebenarnya.

Kulit muka dan tangan tak kering, tak gatal, badan dan kaki tak perlu berlumur pelembap moisturizer, tumit tak pecah, tak perlu pakai lipseal/lipbalm dan tak perlu berpakaian winter jacket yang tebal dan gedabak seperti Michelin Man. Apa yang seronoknya salji?

7.KEMURUNGAN/DEPRESSION..
Di musim sejuk, orang Jerman mudah tertekan di tempat kerja atas sebab mereka tidak dapat bekerja dengan produktiviti kerana kurang menerima cahaya matahari. Akhirnya mereka mengalami kemurungan dan kesihatan mental yang teruk.

Semasa aku bekerja, aku melihat ramai orang Jerman yang mudah jatuh sakit. Ada ketikanya sehingga 2 minggu cuti sakit kerana kemurungan, tekanan, memerlukan psikiatri dan sebagainya.

Sebagaimana dengan keadaan cuaca yang mendung, begitulah ekspresi muka mereka yang mencuka, mengerutkan kening, wajah yang muram dan tidak peramah terhadap sesiapa pun. Apa yang seronoknya salji?

8.KURANG BERKELANA.
Memang ketika musim sejuk, kita boleh berjalan-jalan ke gunung dan banjaran bersalji untuk bermain ski dan mendaki gunung misalnya.

Sukan musim sejuk juga sangat popular di Jerman, seperti bermain ski dan luncur ais, tetapi jika anda ingin berjalan-jalan hanya setakat merayau-rayau untuk melihat keindahan bandar, memang itulah yang paling malas sekali.

Selain tak tahan dengan kesejukan di luar sana dan anda harus juga memakai segala pakaian besar, berat dan gedabak beserta dengan segala kelengkapan aksesori musim sejuk (topi, mafla, sarung tangan, kasut boot dan sebagainya).

Kalau tak pandai memilih kostum musim sejuk yang berpadanan, anda harus menyediakan satu beg pakaian khusus hanya untuk segala kelengkapan ini. Itu belum termasuk pakaian yang lain-lain. Apa yang seronoknya musim sejuk?

9.JALAN MENJADI LICIN.
Pada ketika inilah atau musim sejuk, ramai orang Jerman dilihat tergelincir dan terlentang di permukaan air yang berkristal. Jalan-jalan yang licin membuat kita harus lebih berhati-hati ketika berjalan dan pandai memilih kasut boot yang bersesuaian.

Harus pandai memilih kasut boot yang bagus dan bersesuaian untuk musim sejuk dan bukan setakat rupa yang cantik sahaja. Selain itu kasut boot musim sejuk tidaklah murah dan kadangkala berat.

Selain itu, jalanraya bukan sahaja merbahaya untuk pejalan kaki, memandu kereta juga sama bahayanya ketika musim sejuk. Jalanraya diliputi salji dan menjadi kristal yang menyebabkan kereta bergerak menjadi licin, mudah tergelincir dan akhirnya kemalangan. Apa yang seronoknya?

10.KOS.
Bukan sahaja pakaian musim sejuk yang bagus diperbuat dari bahan yang berkualiti tetapi juga semua aksesori musim sejuk dari kasut boot, skarf, penutup penghangat telinga, stokin kaki, sarung tangan dan topi adalah mahal harganya sesuai dengan kualitinya.

Dan sudah tentu lebih mahal daripada pakaian musim panas. Selain dari itu, jika anda mempunyai kereta, setiap musim bunga dan musim gugur, tayar kereta mesti diganti dengan segera agar tidak membahayakan pemandu.

Untuk mengganti tayar, anda juga memerlukan kos tambahan lagi ke bengkel kereta yang mana tidak murah harganya. Duit terbang lagi.. Apa yang seronoknya?

KESIMPULANNYA.
Namun sebenarnya bukan semua orang Jerman yang membenci musim sejuk tetapi ada juga orang Jerman mengemari musim sejuk atas sebab-sebab mereka yang tersendiri.

Namun, penilaian subjektif aku ini tidak dapat disangkal lagi memandangkan aku sebagai penulis, masih sering mengagumi keindahan salji pada musim sejuk. Indahnya salji dan musim sejuk itu hanya sesaat sahaja. Hihi..

Tetapi itulah kadang-kadang aku terasa menjengkelkan juga apabila dari hidungku bukan hingus mengalir keluar tetapi air hidung meleleh menitik-nitik.

P/s: Catatan ini adalah hasil perkongsian En. Khairolizam Muhaidi yang menetap di Hochheim, Hessen, Jerman.
Faizal Nasir
Faizal Nasir

Ini adalah biografi ringkas penulis artikel. Faizal Nasir guru Sains dan Matematik sekolah menengah. Beliau telah berkhidmat selama 8 tahun di 4 buah sekolah. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Ijazah Sarjana Pendidikan Kimia (UPSI). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment