Kenapa cikgu susah sangat nak ada pencapaian SK@S?


SKPM Kualiti@Sekolah (SK@S) ialah instrumen penilaian kendiri yang diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menilai dan meningkatkan kualiti pengurusan, kurikulum, kokurikulum, dan hal ehwal murid


Soalan ini mungkin pedih untuk dibaca. Tapi inilah realiti yang perlu kita renungkan bersama sebagai guru.


Bila SK@S merekodkan pencapaian guru, tujuan asalnya bukan untuk membebankan. Bukan juga untuk mencari salah sesiapa. Tetapi untuk melihat sejauh mana budaya profesionalisme, perkembangan kendiri dan impak guru itu benar-benar berlaku dalam organisasi sekolah.


Malangnya, bila sampai kepada pengisian dan eviden, mula timbul kekeliruan. Ada yang memasukkan kerja rutin harian sebagai “pencapaian”. Ada yang mengulang perkara sama berkali-kali. Ada yang masih tercari-cari arah apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan pencapaian guru.


Hakikatnya, hadir mengajar, menyediakan RPH, masuk kelas, menghadiri mesyuarat, mengurus murid, menanda buku — itu semua kerja hakiki. Itu tanggungjawab asas profesion seorang guru. Ia penting, sangat penting. Tetapi bukan semua kerja rutin boleh dianggap sebagai pencapaian profesional.


Pencapaian berlaku apabila guru melangkaui kebiasaan.


Apabila guru mula menghasilkan inovasi.

Membentang amalan terbaik.

Menjadi jurulatih atau pembimbing.

Menyertai pertandingan profesional.

Menerbitkan penulisan.

Membina modul.

Menjadi rujukan sekolah lain.

Mengangkat nama sekolah di peringkat tertentu.

Atau memberi impak luar biasa kepada kemenjadian murid dan organisasi.


Masalah terbesar bukan sebab tiada peluang. Tetapi kerana budaya membina pencapaian itu belum benar-benar menjadi sebahagian daripada identiti profesional kita.


Ada guru sangat hebat bekerja, tetapi tidak mendokumentasikan.

Ada guru banyak idea, tetapi tidak berani mengetengahkan.

Ada guru menunggu disuruh, bukan bergerak membina nilai tambah sendiri.

Dan ada juga yang terlalu lama selesa dalam zon rutin.


Sedangkan dunia pendidikan hari ini menuntut guru berkembang, bukan sekadar berfungsi.


Kita tidak boleh marah apabila sistem meminta eviden pencapaian, sedangkan kita sendiri tidak merancang perjalanan profesional diri. Kerjaya guru bukan sekadar “cukup buat kerja”. Profesion ini menuntut pertumbuhan, sumbangan dan pengaruh.


Kalau 5 tahun bekerja tetapi tiada satu pun perkara yang boleh dibanggakan sebagai pencapaian profesional, itu sebenarnya satu perkara yang perlu direnungkan.


Pencapaian bukan tentang populariti.

Bukan tentang sijil semata-mata.

Tetapi tentang nilai tambah yang kita bawa sepanjang berada dalam profesion ini.


SK@S akhirnya hanya merekodkan apa yang guru bina sepanjang perjalanan kerjayanya.


Kalau tiada yang dibina, apa yang mahu direkodkan?


Bangkitlah. Jadi manusia luar biasa.


Sumber FB: Normie Azura AJ

Faizal Nasir
Faizal Nasir

Ini adalah biografi ringkas penulis artikel. Faizal Nasir guru Sains dan Matematik sekolah menengah. Beliau telah berkhidmat selama 8 tahun di 4 buah sekolah. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dan Ijazah Sarjana Pendidikan Kimia (UPSI). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment